
Kuala Lumpur, 16 April 2026 – PMB Investment Berhad (PMB Investment), sebuah syarikat pengurusan dana Islam di bawah Pelaburan MARA Berhad, mengumumkan agihan pendapatan bagi dua dana, PMB Shariah Dividend Fund dan PMB Shariah Index Fund bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026.
PMB Shariah Dividend Fund
PMB Shariah Dividend Fund mengumumkan agihan pendapatan sebanyak 2.39 sen seunit, dengan jumlah agihan RM1,344,141.09. Nilai aset bersih (NAB) seunit sebelum agihan ialah RM0.2706, dan diselaraskan kepada RM0.2467 selepas agihan. Berdasarkan NAB pada 31 Mac 2026, ini memberikan hasil agihan sebanyak 10.03%. Dana ini terus menyerlah dengan jumlah pulangan sebanyak 11.54% bagi tempoh yang sama.
Dengan hasil agihan dua digit dan pulangan keseluruhan yang kukuh, PMB Shariah Dividend Fund terus menonjol sebagai pilihan jana pendapatan yang menarik dan menawarkan alternatif kepada instrumen simpanan konvensional dan deposit tetap bagi pelabur yang inginkan pulangan seiring dengan pelaburan beretika.
Dana ini juga memperuntukkan antara 70% hingga 99.5% daripada NAB kepada ekuiti dan sekuriti berkaitan ekuiti yang patuh Syariah. Baki selebihnya dilaburkan secara berhemah ke dalam instrumen pasaran wang Islam, sukuk, deposit Islam, dan aset lain yang patuh Syariah dengan objektif jangka panjang untuk mengatasi prestasi produk pendapatan tetap konvensional.
PMB Shariah Index Fund
Sementara itu, PMB Shariah Index Fund mencatatkan agihan sebanyak 2.50 sen seunit, berjumlah RM1,155,844.50. NAB seunit sebelum agihan ialah RM0.5585, diselaraskan kepada RM0.5335 selepas agihan, mencerminkan hasil agihan sebanyak 4.89% bagi tahun kewangan tersebut, dengan jumlah pulangan sebanyak 9.17% bagi tempoh yang sama.
Direka untuk pelabur yang mahukan pendedahan pasif secara menyeluruh dalam pasaran ekuiti patuh Syariah Malaysia, PMB Shariah Index Fund mengikuti FTSE Bursa Malaysia EMAS Shariah Index (FBMSHA). Strategi penjejakan penanda arasnya terus memberikan pulangan yang pelbagai dan seimbang dari segi risiko, sekali lagi mencatatkan prestasi kukuh buat para pemegang unit.
Kedua-dua agihan dana ini telah dikreditkan pada 31 Mac 2026, dengan tarikh pelaburan semula ditetapkan pada 1 April 2026.
Mengulas prestasi kukuh dana-dana ini, Encik Hang Tuah Amin Tajudin, Ketua Pegawai Eksekutif PMB Investment, berkata, “Strategi pelaburan kami berpaksikan disiplin, ketelusan, dan pematuhan Syariah yang ketat. Dalam tempoh lima tahun, PMB Shariah Dividend Fund mencatatkan pulangan kumulatif sebanyak 41.62%, membuktikan kemampuannya menjana pendapatan dan pertumbuhan modal secara serentak. Pada masa yang sama, PMB Shariah Index Fund mencatatkan pulangan kumulatif sebanyak 24.00%, kekal selaras dengan FTSE Bursa Malaysia EMAS Shariah Index. Keputusan ini menunjukkan daya tahan dan konsistensi pendekatan kami merentasi pelbagai kitaran pasaran.”
Datuk Mohd Idzwan Izuddin Ab Rahman, Pengerusi PMB Investment, menambah, “Sebagai sebuah syarikat pengurusan dana Islam di bawah Pelaburan MARA Berhad, tanggungjawab kami melangkaui sekadar mengurus aset. Kami berperanan dalam membantu pelanggan membuat pelaburan melalui saluran yang patuh syariah dan bertanggungjawab. Agihan yang diumumkan hari ini adalah sebahagian daripada komitmen berterusan kami untuk memastikan pelabur kami turut merasai manfaat daripada pertumbuhan pasaran modal negara.”
Untuk maklumat lanjut berkenaan dana termasuk fi dan risiko, sila layari www.pmbinvestment.com.my atau hubungi 03-4145 3900.
– T A M A T –
Info Korporat:
PMB Investment, sebagai anak syarikat Kumpulan Pelaburan MARA yang bernaung di bawah MARA Corporation Sdn Bhd, beroperasi sebagai Syarikat Pengurusan Dana Islam (IFMC).
Ia menguruskan 18 dana unit amanah, termasuk 1 dana borong dan 10 mandat persendirian pelaburan dalam kelas aset ekuiti dan sukuk.
Maklumat lanjut mengenai produk PMB Investment, layari www.pmbinvestment.com.my.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:
TAHA RUSYDI MOHD NAZRI
Ketua, Komunikasi Strategik
Pelaburan MARA Berhad
Tingkat 2, Wisma PMB, No 1A Jalan Lumut
50400 Kuala Lumpur
T: 03-4145 3830
F: 03-4145 3801
M: 012-2737 685
taha.rusydi@pelaburanmara.com.my